Thursday, November 8, 2012

Kementerian Sasar 11 Peratus Penjanaan Elektrik Daripada Tenaga Diperbaharui Menjelang 2020

Kementerian Sasar 11 Peratus Penjanaan Elektrik Daripada Tenaga Diperbaharui Menjelang 2020
20 Julai, 2010 17:17 PM

JASIN, 20 Julai (Bernama) -- Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyasarkan sebanyak 11 peratus atau 2,080 megawatt daripada keseluruhan penjanaan elektrik di negara ini berpunca daripada tenaga yang boleh diperbaharui menjelang 2020.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, bagi pelaksanaan tenaga boleh diperbaharui berjalan lancar, beberapa garis panduan dan undang-udang berkaitan akan diperkenalkan.

"Ini untuk memastikan kecekapan pengunaan tenaga serta dapat menurunkan indeks tahap pelepasan gas rumah hijau, katanya di dalam teks ucapannya pada majlis perasmian Bangunan Tenaga Elektrik Melaka Jasin di sini pada Selasa.

Teks ucapannya dibaca oleh timbalannya, Noriah Kasnon.

Bangunan dan pejabat yang disiapkan dengan kos RM22 juta dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Yang turut hadir ialah Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie, Presiden dan Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh serta ahli-ahli majis mesyuarat kerajaan negeri Melaka.

Menurut Chin, kesedaran dan pemahaman mengenai perlunya untuk mengaplikasikan penggunaan tenaga boleh diperbarui ini semakin meningkat.

"Tetapi, ia masih belum berkembang pesat di negara ini berbanding di negara-negara Eropah seperti Jerman, Sepanyol, United Kingdom dan Denmark," katanya.

Kerajaan melalui skim pembiayaan teknologi hijau, katanya memperuntukkan insentif RM1.5 bilion bagi mempergiatkan penggunaan aplikasi teknologi hijau sebagai pemacu pembangunan ekonomi masa hadapan.

Beliau berkata usaha-usaha mengamal dan melaksana amalan kecekapan tenaga perlu dipergiatkan bagi manfaat penjimatan wang secara langsung bagi kos berkaitan dengan tenaga.

Sementara itu, Moggie berkata, bagi memperkukuhkan bekalan elektrik di Melaka, akan dilaksanakan projek pengukuhan sistem voltan tinggi bernilai RM17.8 juta bagi tahun 2009/2010 yang melibatkan 33 projek.

Di samping itu, TNB turut membelanjakan RM210.34 juta untuk memperkukuhkan sistem penghantaran di seluruh Melaka dengan pembinaan pencawang masuk utama (PMU) di Ujung Pasir, Melaka.

Pada tahun lalu, beliau berkata TNB Melaka mencatat jualan elektrik purata RM94.27 juta sebulan iaitu pengguna industri sebanyak RM41.04 juta, pengguna komersial (RM33.75 juta) dan pengguna domestik (RM19.48 juta)

Pelanggan TNB di Melaka ketika ini berjumlah 279,446 dengan pengguna domestik merupakan pengguna terbesar iaitu sebanyak 232,782 pengguna atau 83.33 peratus, katanya.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment